Translate

Senarai Blog Saya

Khamis, 3 Mac 2011

Erbakan, Islamis Yang Menggugat Sekularisme Turki.

Necmettin Erbakan, tokoh gerakan Islam Turki yang meninggal dunia pada Ahad, 27 Februari lalu merupakan seorang yang telah mencatat sejarah penting politik Islam di negara sekular itu. b
Turki secara rasmi menjadi republik pada 1923 dan menegaskan identiti sekular berasaskan ide Mustafa Kamal Ataturk pada 1928 dengan klausa Islam sebagai agama negara dipadamkan daripada perlembagaan.
Sejak itu, Kamalisme menjadi satu tunjang penting republik Turki, menegaskan identiti sekular Turki yang memisahkan agama daripada ruang politik.
Sekularisme di Turki jauh sekali daripada definisinya yang sepatutnya menjadikan negara neutral terhadap agama, tetapi menjadikan negara mengambil sikap memusuhi agama Islam.
Erbakan mencatat sejarah sebagai pemimpin parti Islam yang pertama berjaya membentuk kerajaan dan menjadi perdana menteri, walaupun untuk satu tempoh yang singkat.
Erbakan menyaksikan laluan sukar sejak terlibat secara aktif dalam politik pada 1969, apabila memenangi wakil bebas untuk Konya di Parlimen Turki.
Pada 1970, beliau menubuhkan Parti Orde Nasional, yang diharamkan pada tahun berikutnya kerana didakwa menentang asas sekular negara Turki.
Pada 1972, Erbakan menubuhkan Parti Penyelamat Nasional dan menunjukkan prestasi cemerlang dalam pilihan raya 1973 dan 1977. Beliau malah pernah menjawat jawatan timbalan perdana menteri dalam tiga kerajaan pakatan bersama parti lain.
Parti itu turut diharamkan pada 1980 dan Erbakan dipenjarakan, ekoran satu rampasan kuasa oleh pihak tentera. Erbakan dan beberapa ahli politik lain diharamkan daripada terlibat dalam politik, sehingga larangan itu ditamatkan pada 1987.
Pada 1983, Parti Kebajikan (Refah) ditubuhkan dan Erbakan mula memimpin Refah pada 1987 selepas pengharaman penglibatannya dalam politik ditarik balik. Refah berjaya meletakkan 40 orang wakil di Parlimen Turki dengan pakatan bersama Parti Rakyat.
Kemudian, Parti Kebajikan menyaksikan kemenangan terbesarnya pada 1995 apabila menjadi parti pertama mendapat 21 peratus undi, menjadi kumpulan terbesar dalam parlimen.
Dengan pakatan bersama parti pimpinan Tansu Ciller, sebuah kerajaan ditubuhkan pada 1996 dengan Erbakan menjadi perdana menteri Islamis pertama Turki. Erbakan hanya menjadi perdana menteri selama setahun, bermula Jun 1996 hingga Jun 1997.
Kemunculan parti Islam pimpinan Erbakan mencetuskan satu debat hangat di Turki yang sekular itu, debat yang masih berjalan sehingga ke hari ini, walaupun selepas parti yang lebih sekular mengetuai kerajaan.
Pihak tentera, penjaga sekularisme Turki kemudian bertindak sekali lagi terhadap parti pimpinan Erbakan dan memaksanya meletak jawatan.
Parti Kebajikan kemudian diharamkan pada 1998 dan Erbakan diharamkan daripada terlibat dalam politik selama lima tahun.
Erbakan menamatkan hayatnya sebagai pemimpin sebuah parti Islam, mencatat sejarah tersendiri sebagai Islamis Turki dan dalam perjuangan Islam di negara yang paling fanatik dalam mempertahankan apa yang ditafsir sebagai sekularisme, lebih daripada apa yang dilihat di Eropah.
Oktober tahun lalu, Parti Kebahagiaan (Saadet) melantik Erbakan sebagai pemimpin parti dalam satu konvensyen diadakan untuk memilih pimpinan baharu.
Kepimpinan Erbakan dalam Parti Kebahagiaan mencatatkan parti keempat yang dipimpin beliau selama hayatnya.
Episod perjuangan Erbakan menyaksikan satu persaingan sengit merentasi tekanan sekularisme yang kuat di Turki, sehingga asas-asas demokratik dilanggar untuk memenangkan sekularisme.
Sejarah penglibatan Erbakan dalam politik telah menyaksikan kemampuan parti Islam untuk terus terlibat dan menerima sokongan, termasuk pada masa ini ketika parti pasca-Islamis pimpinan Recep Tayyip Erdogan memimpin Turki.
Kes Islamis di Turki telah mengukuhkan hujah untuk menyokong pilihan fasa pasca-Islamisme dalam perjuangan parti-parti Islam.
Parti Erbakan dilihat sebagai tidak berupaya meneruskan perjuangan di Turki dengan wajah Islamis, berbanding Parti Keadilan dan Pembangunan, AKP.
AKP muncul dengan lebih berupaya bercakap dalam bahasa semasa, menyentuh isu-isu yang mudah diterima ramai.
Walaupun sentiasa diberi amaran supaya tidak mengulangi sikap dan tindakan Islamis di Turki, AKP diterima Barat sebagai model bagi gerakan Islam dan peranan Islam dalam politik.
Di peringkat antarabangsa, usaha AKP mendekatkan Turki dengan Kesatuan Eropah dengan tindakan-tindakan yang menyelaraskan amalan di Turki dengan Eropah menerima pujian dari Barat.
Terbaharu, tindakan melibatkan Israel melonjakkan lagi nama AKP dan Turki, menyumbang kepada peningkatan dan pengukuhan kedudukan Turki sebagai kuasa serantau di Timur Tengah.
Erbakan, di penghujung hayatnya memperlihatkan sikap kritikal terhadap AKP dan kepimpinan Erdogan.
Ekoran episod serangan ke atas kapal Mavi Marmara, Erbakan mengkritik keras kerajaan Erdogan yang didakwa bersikap hipokrit apabila mengamalkan dua amalan berbeza dalam urusan melibatkan Israel.
Menurut Erbakan, Turki terus berurusan berbilion dolar melibatkan senjata dengan Israel, walaupun apa yang terjadi di Forum Ekonomi Dunia di Switzerland pada 2009 melibatkan Erdogan dengan Shimon Peres memperlihatkan hal yang berbeza.
Dalam konvensyen yang menyaksikan pemilihannya sebagai pemimpin parti baharunya, Erbakan turut mengkritik AKP dan menyatakan Parti Kebahagiaan sebagai parti Islam sebenar.
Menjelang pilihan raya Turki akan datang pertengahan tahun ini, parti Islam pimpinan Erbakan dijangka mengadakan aliansi dengan parti Islam lain.
Parti Kebahagiaan yang ditinggalkan Erbakan akan meneruskan perjuangan Islamis Turki, yang kini menjadi satu legasi penting tokoh yang dianggap “guru gerakan Islam” itu.
Dalam suasana pasca-Islamisme dilihat sebagai pilihan yang tidak dapat dielakkan lagi untuk gerakan Islam, Erbakan telah memperlihatkan kelangsungan hidup Islamis, yang terus mengambil bahagian dalam politik Turki.
Perjuangan panjang politik Erbakan telah mencatat sejarah dalam perjuangan Islamis menghadapi sekularisme Turki.
Erbakan telah mencatat sejarah sebagai Islamis yang terus menjadi pencabar utama fahaman Kamalisme Turki yang meletakkan sekularisme sebagai asas utama negara.(Sumber)
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular