Translate

Senarai Blog Saya

Rabu, 30 Mac 2011

Membuka Laluan Tsunami Politik Ke Sarawak Yang Tersekat Pada 2008.


Ahmad Lutfi Othman

Tempoh kempen pilihan raya Sarawak ditetapkan selama 10 hari, iaitu kurang sehari daripada pilihan raya negeri kesembilan tahun 2006. Walaupun ia lebih lama berbanding cadangan Pengerusi Pemuda BN Sarawak yang mahu dihadkan hanya kepada seminggu, namun ia masih kurang berbanding masa berkempen dalam pilihan raya umum ke-12, Mac 2008. Ketika itu, Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi memanjangkan waktu berkempen kepada 13 hari.

Dalam pilihan raya umum 1999, iaitu yang terakhir yang dijalankan di bawah era Dr Mahathir Mohamad, hanya sembilan hari diperuntukkan bagi tempoh berkempen.

Semakin kecil jumlah hari berkempen, maka pihak pembangkang nampak lebih tertekan, sekali gus memberi kelebihan buat BN. Misalnya, dalam PRU13, hari-hari awal kempen menunjukkan pengundi seperti tidak berminat untuk menyertai program ceramah oposisi, tetapi apabila memasuki minggu kedua kempen, sambutannya begitu hebat, terutama di bandar-bandar besar.

Luas kawasan negeri Sarawak ialah 124,386 km persegi, iaitu hampir sama dengan keluasan Semenanjung, 131,598 km persegi. Fakta itu sudah mencukupi untuk menjustifikasikan keperluan tempoh berkempen yang lebih lama di Sarawak, berbanding masa 13 hari dalam PRU13.

Faktor demografinya menyukarkan calon-calon dan parti-parti yang bertanding bagi menemui pengundi untuk berkempen secara berkesan.

Blogger A Kadir Jasin menekankan: "BN Sarawak mempunyai kelebihan (advantage) berbanding pembangkang dalam aspek kewangan dan logistik. Kempen di Sarawak sukar kerana keluasan wilayah dan kesukaran untuk sampai ke pedalaman. Banyak tempat hanya boleh dihubungi dengan helikopter."

Bagi BN, ia langsung tidak menghadapi kesukaran. Sejak sekian lama, situasi pilihan raya di Malaysia menyaksikan BN memperalat dan memperkakaskan segala kemudahan dan sumber kerajaan. Salahguna kuasa yang menjolok mata itu tidak pula dianggap satu kesalahan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya.

Lebih malang apabila SPR -- tidak seperti badan seumpamanya di negara-negara lain, termasuk di rantau ini,  yang "bertaring"  dan dihormati -- bukan saja "tidak berkuku", malah dilihat sebagai salah satu daripada agen untuk memenangkan BN.

Jentera kerajaan siap dipergunakan semahunya. Para taukeh dan saudagar gergasi, yang mendapat limpahan projek melalui proses yang sarat dengan korupsi, saling membantu kempen mengaburi mata rakyat.

Usah cerita soal RTM yang akan memberikan sepenuh sokongan untuk menyiarkan apa jua propaganda, juga menyebarluaskan tohmahan terhadap saingan politik BN.

Stesen swasta, misalnya Media Prima, yang dilihat lebih kreatif dan berinovasi dalam menampilkan slot terbitannya turut berlumba-lumba menawarkan khidmat.

Jangan terkejut kalau dalam kes Sarawak sekarang, Ketua Menteri Taib Mahmud yang terdesak itu akan bermurah hati memberikan imbalan kewangan  dalam jumlah yang cukup besar -- puluhan juta ringgit -- bagi melicinkan operasi stesen TV berkenaan. Tentunya untuk membuat liputan yang menyeluruh ke setiap pelosok Bumi Kenyalang itu, ia memakan kos yang tinggi.

Benar, ketika Pengerusi dan ahli-ahli SPR didakwa "berbicara dengan lidah Umno-BN serta menuruti sepenuhnya kehendak elit penguasa di peringkat persekutuan" -- dan gagal memenuhi peruntukan Perkara 14(2) Perlembagaan -- parti-parti pembangkang masih mampu menang di beberapa negeri dan menguasai jumlah kerusi Parlimen yang agak besar, tetapi ia bukan petunjuk untuk membuktikan pilihan raya kita berjalan secara bebas dan adil. Sama sekali tidak!

Sebenarnya, jika sistem demokrasi di Malaysia telus, tulen dan matang serta membenarkan persaingan politik yang cukup terbuka dan saksama, maka kemungkinan besar BN dan dahulunya Perikatan sudah lama dapat ditumbangkan.

Rakyat dapat menikmati proses pertukaran kerajaan sekiranya mereka merasakan perlu berbuat demikian tanpa perlu melalui pelbagai ugutan atau tawaran rasuah politik.

Partisipasi rakyat dalam amalan demokrasi bukan lagi hanya mengundi sekali dalam masa lima tahun, tetapi berupaya untuk membentuk atau mempengaruhi dasar-dasar awam secara berterusan, selain memastikan khazanah negara dan wang pembayar cukai diuruskan secara berhemat dan transparen. Ruang awam diperluaskan agar rakyat dapat memberikan pandangan, teguran hatta kritikan tajam.

Satu perkara yang nyata dalam kes Sarawak, dan juga pilihan raya lainnya, bahawa ramalan terhadap tarikh penamaan calon dan hari mengundi (sekali gus tempoh berkempen) selalunya tepat. Ia tidak bermakna tukang ramal mempunyai firasat yang hebat tetapi tekaan itu sebenarnya datang daripada sumber pejabat ketua menteri atau perdana menteri.

Memang pada mulanya tarikh penamaan calon dijangka 9 April, tetapi beberapa kemudian seorang rakan dari Kuching, penganalisis politik terkenal, menghantar SMS memaklumkan ia dipercepatkan pada 6 April, dengan tarikh pengundian kekal 16 April. Pada 23 Mac, Pengerusi SPR, Abdul Aziz Mohd Yusuf hanya mengulangi pengumuman tarikh-tarikh berkenaan secara rasmi sahaja.

Ternyata dalam hal ini, SPR langsung tidak berkuasa, sekadar mengaminkan apa juga strategi ketua menteri atau perdana menteri. Sewajarnya tempoh berkempen ini dikanunkan dalam Perlembagaan secara jelas, iaitu minimum 21 hari.

Saya lebih berminat untuk meneropong pilihan raya Sarawak dalam konteks cabaran proses pendemokrasian di sana. Soal Pakatan Rakyat dapat menafikan majoriti dua pertiga BN, atau menyebabkan kredibiliti BN tergugat dengan teruk ekoran skandal Taib dan pelbagai isu kritikal, seperti tanah hak adat pribumi (NCR), memerlukan pemerhatian lain.

Saya cukup rimas apabila mendapat tahu Taib dengan sewenang-wenangnya menggunakan "kuasa istimewa" imigresen Sarawak untuk menghalang tokoh-tokoh tertentu pembangkang dari Semenanjung daripada memasuki negeri itu. Antara yang pernah disekat ialah Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan (Disember 2008) dan Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa (kali pertama Feb 2009, dan kedua Mac 2011).

Dalam realiti politik baru, insiden seumpama itu begitu memalukan. Saya tidak pasti bagaimana dengan iklim kebebasan bersuara di Sarawak secara keseluruhannya. Cuma saya difahamkan, budaya takut masih kuat mencengkam. Ia tidak sukar difahami memandangkan  regim Taib sudah berakar selama 30 tahun.

Diharapkan rakyat, terutama pengundi muda, yang lebih tinggi taraf celik politiknya agar berani bersuara, sekurang-kurangnya menyatakan protes terbuka menentang amalan primitif yang bercanggah dengan norma-norma demokrasi, di samping membuka laluan untuk tsunami politik yang tersekat pada 2008 membadai Sarawak dan Sabah dalam PRU13 nanti.
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular