Translate

Senarai Blog Saya

Rabu, 27 April 2011

Isu Wahabi: Memalukan, Jakim Jelas Pandangan Pegawainya Salah


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memanggil pegawainya Zamihan Mat Zain yang mengesyaki Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini.

Pengesahan itu dibuat Ketua Pengarah Jakim Othman Mustapha ketika sidang media di sini.

“Padangan beliau (Zamihan) itu salah, kita memang menjemput Imam Besar Masjidil Haram ini dan menerima kunjungannya untuk menjalin hubungan lebih erat antara dua negara termasuk tentang Islam.

“Jadi tidak ada seperti yang didakwa kononnya Imam Besar Masjidil Haram ini cuba menyuntik fahaman Wahabi dan sebagainya, saya telah panggil pegawai ini pagi tadi serta memberi penjelasan kepada dia tentang kehadiran Imam Besar Masjidil Haram ini ke Malaysia,” katanya.

Ditanya sama ada Jakim akan mengambil tindakan terhadap Zamihan, Othman bagaimanapun berkata pihaknya akan menyiasat terlebih dahulu perkara itu.

“Kita akan siasat dulu perkara ini dan dalam pertemuan dengan pegawai ini pagi tadi saya dah jelaskan, nampaknya dia akur dengan apa yang saya katakan.

“Apa-apa pun kita akan siasat dulu, kita ikut prosedur... tindakan itu akan dibuat kemudian,” katanya.

Tahun lalu, Zamihan menjadi perhatian ekoran laporan bahawa beliau mengaitkan beberapa tokoh agama dan politik iaitu bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya, bekas menteri besar Perlis dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai kaitan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Zamihan bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengaitkan Presiden PAS, bekas menteri besar Perlis dan mufti Perlis dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Semalam, Zamihan yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu, Teras Institut Latihan Islam Malaysia dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider berkata, beliau mengesyaki Sheikh Abdul Rahman cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform kerajaan dengan kerajaan.

Justeru, Zamihan meminta pihak berkuasa berhati-hati dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan penyebaran amalan Wahabi di negara ini.

Beliau berkata lawatan kerja lima hari Sheikh Abdul Rahman yang berakhir Ahad lalu kemungkinan membawa metodologi yang bertentangan dengan amalan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi pegangan umat Islam di Malaysia.

Kata Zamihan, Sheikh Abdul Rahman berpegang kepada fahaman Wahabi dan cuba menyuntik amalan itu di kalangan umat Islam melalui seminar anjuran kerajaan negeri Perlis itu.

“Imam ini (Sheikh Abdul Rahman) bawa amalan Wahabi dan menggunakan platform kerajaan dengan kerajaan untuk menyuntik fahaman Wahabi kepada umat Islam di Malaysia dan negara-negara Islam yang lain.

“Kalau beliau datang bercakap untuk soal umum tentang Islam, kepentingan Islam kita boleh terima, tapi ia jadi masalah kalah bercakap tentang Allah ada mata... ada tangan... ada kaki... itu semua kita tidak boleh terima,” kata Zamihan yang pernah menjadi fokus berhubung isu Wahabi tahun lalu.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kenyataan yang dikeluarkan Zamihan itu bukan mewakili kerajaan atau Jakim.

“Apa yang dia katakan tidak mewakili kerajaan dan Jakim, itu mungkin hanya pandangan peribadinya.

“Biasalah dia ini, biasanya bila orang cakap A, dia akan cakap B tapi apa yang dia katakan dalam perkara ini bukan sebagai lidah kerajaan,” tegasnya.

Sambil mempertahankan kehadiran Sheikh Abdul Rahman, Jamil Khir berkata kunjungan itu bertujuan untuk mewujukan hubungan yang lebih erat antara dua negara - Malaysia dan Arab Saudi.

Selain itu, Juanda turut mempertahankan kehadiran Sheikh Abdul Rahman sambil menafikan beliau cuba menyuntik fahaman Wahabi.

Sehubungan itu kata beliau, kenyataan bahawa Sheikh Abdul Rahman telah menggunakan platform jemputan kerajaan untuk menyebarkan amalan Wahabi di Malaysia adalah “satu fitnah.” Insider
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular