PAS menegaskan parti Islam itu bersama rakan-rakannya dalam Pakatan
Rakyat (PR) akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang
memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan manakala
agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tekad itu adalah
satu ikrar yang terpahat dalam polisi bersama PR yang telah dicapai pada
kedua-dua konvensyen Disember 2009 dan 2010.
PR juga menggariskan pendirian seumpama itu menerusi satu kenyataan bersama tiga pemimpin komponen pada September 2008.
“Oleh yang demikian hiruk-pikuk yang dilemparkan oleh media tertentu
bertujuan untuk membakar semangat rakyat terutamanya di kalangan orang
Melayu beragama Islam bahawa Malaysia akan menuju ke arah negara
Kristian adalah satu pemberitaan yang sangat tidak beramanah,” katanya
dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini petang ini.
Mengulas laporan Utusan Malaysia semalam, Hadi berkata,
kegagalan mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini
adalah berpunca daripada kealpaan dan kelemahan pimpinan Umno yang telah
diberi amanah memerintah negara selama lebih dari 50 tahun.
“Merekalah yang sebenarnya gagal memperkasakan Islam sebagai agama
persekutuan sehingga gagal menyediakan kefahaman Islam yang sebenar
kepada rakyat, melemahkan jati diri orang Melayu beragama Islam, dan
seterusnya menghadapi kecelaruan sakhsiah dan bencana akidah yang tidak
mampu untuk menguatkan orang Melayu beragama Islam dalam negara kita
ini,” kata Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.
Dalam laporannya semalam, Utusan Malaysia mendakwa ada konspirasi mahu menjadi Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.
Bagaimanapun pemimpin-pemimpin DAP telah menafikan perkara tersebut
sambil mengulangi pendirian mempertahankan Islam sebagai agama rasmi
negara ini.
Dalam kenyataannya, Hadi juga menegaskan bahawa apa lagi yang boleh
diharapkan daripada Umno kerana mereka juga gagal memberikan kefahaman
Islam sebenar dan seterusnya gagal menunjukkan contoh Islam yang unggul
kepada rakan mereka MCA dalam Barisan Nasional.
“Hasilnya kita dapat lihat sendiri bagaimana pendirian dan kenyataan
politik pimpinan MCA ini semakin hari semakin hanyut dan menampakkan
kecelaruan dalam memahami Islam sebagai agama rasmi negara kita ini,”
katanya. Insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan