Translate

Senarai Blog Saya

Ahad, 8 Mei 2011

Mengapa permohonan rebat cukai tanah UUM ditolak Kerajaan Kedah?

ZULKIFLI YAHAYA



BULETIN UTAMA TV3 cuba memanipulasi isu penolakan rebat cukai tanah yang dipohon UUM. Pihak UUM sebelum ini telah merayu kerajaan negeri Kedah memberikan rebat cukai tanah sehingga mereka hanya perlu membayar RM100 ribu sahaja seperti yang dinikmati pada 2006-2008, berbanding RM1.74 juta nilai cukai tanah sebenar. UUM meminta kadar semurah itu untuk tempoh lima tahun lagi.


Cukai tanah bagi tahun 2011 sepatutnya perlu dijelaskan segera untuk mengelak dari didenda. Tarikh akhirnya ialah 1 Jun 2011.

Antara alasan yang dikemukakan UUM dalam rayuannya untuk mendapatkan rebat ialah UUM bukan institusi pengajian tinggi yang berorientasikan keuntungan. Benarkah langsung tidak berorientasikan keuntungan? Tahun lalu UUM mengumumkan keuntungan bagi syarikat-syarikat di bawah IPTA itu adalah sebanyak RM80 juta. Semua keuntungan itu dibuat di atas tanah yang dikategorikan untuk IPTA, bukan tanah premis perniagaan. Apa salahnya gunakan keuntungan besar yang ‘tidak disengajakan’ itu untuk menjelaskan cukai.

Satu lagi alasan yang diberikan ialah keluasan tanah UUM adalah 1,104.3 hektar tetapi hanya 57% dari keluasan tanah tersebut atau 627.8 hektar sahaja yang dibangunkan. Orang kampung yang mengusahakan sawah padi tetap perlu membayar cukai tanah meskipun pada tahun tertentu sawah mereka dilanda banjir, mereka tidak pernah menggunakan hujah ‘ala UUM’ untuk meminta rebat cukai.

Kadar cukai tanah yang dikenakan ke atas UUM ialah RM0.20 bagi satu meter persegi, bermakna jumlah keseluruhan ialah RM1,744,357.00. Bagaimanapun berlaku pengambilan sejumlah kecil tanah UUM iaitu 3119.3662 meter persegi menyebabkan taksiran cukai berkurang menjadi RM1,743,735.00.

Kadar RM0.20 bagi satu meter persegi adalah kadar cukai tanah mengikut semakanhasil tanah pada 2005 yang menjadikan cukai tanah UUM sebanyak RM1,743,735.00. Cukai tersebut tidak dikira mengikut rebat cukai yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2008 iaitu pada kadar RM0.30 bagi satu meter persegi. Jika rebat tersebut diikuti maka cukai tanah yang baru bagi UUM ialah RM2,615,602.00!

Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah dilaporkan tidak bersetuju terhadap rebat oleh UUM itu kerana ia boleh dijadikan ‘precedent case’ atau kes duluan untuk dijadikan rujukan. Hasil yang diperolehi oleh kerajaan negeri Kedah dari tanah-tanah milik Persekutuan di negeri ialah RM31 juta setahun.

Jika UUM diberikan rebat, bayangkan jika semua jabatan Persekutuan tersebut, khususnya IPTA membuat rayuan terhadap kerajaan negeri menggunakan alasan yang sama yang digunakan UUM; maka ia meletakkan kerajaan negeri dalam dilema kerana tidak adil dalam melayan pembayar cukai tanah. UiTM Merbok dikenakan cukai RM0.55 untuk satu meter persegi, lebih sekali ganda dari yang ditanggung UUM. Bagaimana jika UiTM Merbok turut meminta rebat, kerana alasan mereka lebih kuat untuk meminta rebat?

Sepanjang tiga tahun memberi rebat pada UUM (2006-2009) kerajaan negeri telah kehilangan hasil sebanyak RM4,933,071.00. Sekiranya permohonan untuk mendapat jumlah rebat yang sama dipanjangkan lagi selama lima tahun maka negeri akan kehilangan hasil sebanyak RM8,218,675.00. Jumlah tersebut adalah terlalu besar untuk bukan sebuah negeri maju macam Kedah.

Jika pihak UUM masing ‘membuat bising’ kononnya kadar cukai tanah RM0.20 satu meter persegi yang dikenakan terlalu tinggi sehingga tidak mampu dibayar, maka eloknya kita meneliti kadar cukai tanah yang dikenakan terhadap IPTA di negeri lain sebagai rujukan.

USM Pulau Pinang dikenakan cukai RM2.58 bagi setiap meter persegi, Universiti Malaysia Perlis (UNIMEPS) RM0.50 satu meter persegi, IPTA di negeri Selangor RM0.39 untuk satu meter persegi. Manakala semua premis milik Pusat seperti sekolah, balai polis, hospital dan lain-lain yang didaftarkan di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan maka kadar untuk satu meter persegi ialah RM0.55. Semua premis tersebut tidak sibuk meminta rebat, UUM pula yang tiba-tiba menjadi Universiti Uzur Malaysia yang perlu diberi rebat.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Khaled Nordin mengeluarkan kenyataan yang berpihak kepada UUM. Cakapnya ‘double standard’ kerana dia tidak mengulas hal yang sama bagi UNIMEPS atau mana-mana IPTA yang terletak di negeri-negeri ditadbir BN. Sepatutnya negeri BN menjadi contoh dalam memberi rebat ‘gila-gila’ itu kepada semua IPTA yang terdapat di negeri masing-masing, tapi ia tidak berlaku.

Di Kedah, di mana sahaja ceramah politik BN diadakan maka isu cukai tanah UUM menjadi isu wajib untuk diulas. Ini menunjukkan bahawa permohonan rebat oleh UUM terhadap kerajaan negeri bukan ikhlas demi pembangunan pendidikan tetapi lebih menjurus kepada provokasi politik.

Apabila nanti kerajaan negeri menolak maka bolehlah jentera propaganda mereka menjelaskan kepada seluruh rakyat jelata bahawa kerajaan negeri menindas institusi pengajian tinggi. Jika itulah maksud yang tersirat dari apa yang tersurat, maka ‘eloklah’ mereka meneruskan niat busuk tersebut.

Soalan politik yang mereka ajukan kepada kerajaan negeri sekarang ialah; jika masa BN dulu mereka boleh beri rebat, mengapa sekarang tidak? Jawapannya begini:

1) Mengapa kerajaan negeri Perlis yang diperintah BN kini tidak memberi rebat kepada UNIMEPS yang kadar cukainya jauh lebih tinggi dari UUM? (Jawapan dalam bentuk soalan)

2) Kerajaan negeri dulu hilang hasil dari RM4,933,071.00 akibat pemberian rebat, tetapi perbelanjaan pengurusan negeri terutamanya dalam bidang kebajikan rakyat banyak diambil alih oleh Pusat akibat kelemahan kerajaan negeri pada masa itu.

Sekarang kerajaan perlu berdikari kerana bantuan Pusat tidak lagi melalui negeri. Sekalipun Kedah masih dibawah pemerintahan kerajaan BN Pusat namun Kedah adalah antara negeri yang dianaktirikan oleh BN Pusat. Ramai dari senarai penerima bantuan E-Kasih ditamatkan bantuan bulanan oleh Pusat sedangkan senarai E-Sinar di bawah negeri terus menerima bantuan.

3) Di samping perlukan dana untuk pembangunan negeri dan kebajikan rakyat, kerajaan negeri kini terpaksa menjelaskan hutang tinggalan BN lalu sebanyak RM2.3 Billion, di mana RM1.83 Billion darinya adalah hutang berkaitan air.

4) Kerajaan kini sangat mementingkan kebajikan rakyat, justeru akan mempastikan setiap sen duit yang menjadi hak rakyat diguna untuk kesejahteraan rakyat. Ini berbeza dengan kerajaan lalu yang lebih mementingkan 'orang kaya' (UUM) dari rakyat yang ramai masih miskin.

Posted & copy by RAKYAT MARHAEN
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular