Translate

Senarai Blog Saya

Selasa, 22 November 2011

Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman Memang Mengarut.

Undang-undang baru perhimpunan aman membawa lebih banyak elemen menekan rakyat dan mengekang kebebasan awam selain memberi polis kuasa luas untuk menahan orang, dakwa Pakatan Rakyat hari ini.


Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat berkata peruntukan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman lebih “teruk” berbanding undang-undang berkaitan dengan perhimpunan awam sebelum ini dan kandungan baru menunjukkan orang ramai tidak boleh berhimpunan di mana-mana sahaja di Malaysia.
Seksyen 27 akta baru ini menyebut bahawa perhimpunan awam tidak boleh diadakan di pekarangan stesen minyak, hospital, balai bomba, lapangan terbang, stesen kereta api, terminal pengangkutan darat, pelabuhan, limbungan, terusan, jambatan, rumah ibadat, tadika dan sekolah serta empangan.


Ia tidak membenarkan protes jalanan dan melarang perhimpunan di zon 50 meter dari kawasan-kawasan larangan disenaraikan.


“Undang-undang baru ini seharusnya dipanggil rang undang-undang perhimpunan haram, lebih buruk daripada undang-undang lalu.


“Malaysia mempunyai banyak rumah ibadat, lihat pada kawasan larangan, anda tidak boleh berhimpun di mana-mana pun di Malaysia,” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (gambar) kepada pemberita hari ini.
“Ini tekanan, penindasan tambahan,” katanya lagi.


Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang bertujuan membenarkan warganegara menganjurkan dan menyertai perhimpunan secara aman dan tanpa senjata dibentangkan untuk bacaan pertama di Parlimen hari ini.


Rang undang-undang itu yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz adalah satu daripada usaha kerajaan untuk melakukan transformasi terhadap kerangka undang-undang sedia ada berhubung hak perlembagaan warganegara untuk berhimpun.


Ia bertujuan membenarkan warganegara menganjurkan dan menyertai perhimpunan secara aman dan tanpa senjata dengan sekatan-sekatan yang difikirkan perlu dan demi kepentingan ketenteraman dan keselamatan awam.


Sementara itu, selaras dengan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011, Akta Polis 1967 juga akan dipinda.


Rang undang-undang itu bertujuan memansuhkan seksyen-seksyen 27,27A, 27B dan 27C Akta 344, yang akan menghapuskan syarat bagi lesen untuk mengadakan atau mengumpulkan mana-mana perhimpunan atau membentuk mana-mana perarakan di mana-mana tempat awam.


Lim juga berkata di bawah Akta Polis sedia ada, ada peruntukan khusus mengenai bilangan orang yang membolehkan satu-satu perhimpunan dianggap sebagai perhimpunan dan denda bagi perhimpunan awam adalah antara  RM2,000 hingga RM10,000.


“Sekarang anda boleh didenda sehingga RM20,000. Dan, tiada sebutan langsung mengenai bilangan orang, polis boleh ambil tindakan dan menahan sesiapa sahaja,” kata Lim.


Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail memberitahu The Malaysian Insider bahawa sebahagian peruntukan rang undang-undang itu menyukarkan orang ramai untuk mengadakan perhimpunan aman.


“Realitinya ialah polis akan mempertimbang satu-satu permohonan hingga minit-minit terakhir dan sekarang semuanya terserah kepada budi bicara polis.


“(Peruntukan) denda sangat tinggi sekarang, ini lebih teruk dan sangat jelas bertujuan mahu menekan dan memindas orang ramai dan menakutkan mereka daripada melahirkan hak untuk berhimpun,” katanya lagi.
Ahli Parlimen Machang berkata rang undang-undang baru ini jauh lebih buruk daripada janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dua bulan lalu. Insider
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular