Translate

Memaparkan catatan dengan label Ikhwanul Muslimin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ikhwanul Muslimin. Papar semua catatan

Ahad, 22 Januari 2012

Parti Islam Kuasai Dua Pertiga Parlimen Mesir


Keputusan pilihanraya Parlimen Mesir menepati ramalan pelbagai pihak dengan parti-parti beraliran Islam mencatat kemenangan dan menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di negara itu.

Keputusan akhir pemilihan Parlimen pertama Mesir setelah jatuhnya Presiden Hosni Mubarak turut menepati ramalan beberapa pihak apabila parti politik milik Ikhwanul Muslimin, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) mencapai kemenangan besar dengan meraih 47.18 peratus undi.

Dengan perolehan yang turut mengejutkan sesetengah pihak itu, Suruhanjaya Pilihanraya Mesir semalam mengumumkan, FJP akan menguasai 235 kerusi di Majlis Rakyat.

Tempat kedua diduduki oleh kubu konservatif, Parti Salafi al Nur dengan 25 peratus undi atau 121 kerusi, sementara parti beraliran liberal, Parti Wafd meraih 36 kerusi dan parti sekular, Koalisi Mesir memiliki 33 kerusi.   

Semasa pemerintahan Presiden Hosni Mubarak, Ikhwanul Muslimin merupakan organisasi yang dilarang bergiat dalam politik dan dengan keputusan tersebut, parti-parti Islam kini telah berjaya menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di Mesir.

Dengan keputusan itu juga, FJP kini sudah memutuskan untuk melantik seorang ahli politik kanannya, Saad al-Katatni sebagai ketua (speaker) Majlis Rakyat.

Wartawan BBC di Kairo, Jon Leyne dalam laporan terkininya berkata, Presiden Mesir yang akan dipilih nanti bagaimanapun bukan parti pemenang pilihanraya itu.

Sebaliknya, pemilihan presiden akan dilangsungkan pada bulan Jun nanti, setelah segala proses lain yang berkaitan dengannya diselesaikan.

Berdasarkan sistem pemilihan Mesir, warganegara itu akan memilih dua pertiga anggota Parlimen berdasarkan parti yang memiliki daftar calon masing-masing dan hanya sepertiga calon individu yang dipilih secara langsung.

Pemilihan Majlis Tertinggi Parlimen akan diadakan pada bulan Februari nanti dan selepas itu akan dipilih 100 anggota dari Majlis Tertinggi dan Majlis Rendah yang ditugaskan untuk menyusun perlembagaan baru Mesir.

Pilihanraya Parlimen Mesir itu diadakan setelah kebangkitan rakyat yang turun ke jalan-jalan raya di negara itu sehingga berhasil menjatuhkan Presiden Mubarak pada bulan Februari 2011 lalu.

Warga Mesir memberikan suara dalam tiga tahap pilihanraya yang berlangsung selama enam minggu untuk memilih 498 anggota Majlis Rakyat (Parlimen), sementara 10 anggotanya diperuntukkan untuk Dewan Tertinggi Tentera yang kini memerintah negara itu untuk sementara waktu.

Sementara itu, Agensi pula melaporkan, keputusan rasmi pusingan pertama pilihan raya Mesir menunjukkan parti Islam mencapai kemenangan besar, termasuk kumpulan Salafi yang terkenal kerana bersifat radikal.

Kumpulan Ikhwanul Muslimin yang berfahaman sederhana memenangi 36.62 peratus diikuti oleh Parti An-nur yang mewakili kumpulan Salafi, 24.36 peratus sementara Al Wasat, sebuah lagi parti Islam berfahaman sederhana meraih 4.2 peratus undi, berdasarkan carta yang disediakan oleh Setiausaha Agung Jawatankuasa Pilihan Raya, Yusri Abdel Karim.

Menurut carta itu, Parti Kebebasan dan Keadilan (AJP) yang mewakili Ikhwan, memenangi 3.56 juta daripada 9.73 undi, An-Nur, 2.37 juta dan Al-Wasat, 415,590.

Keputusan itu adalah untuk kawasan yang mengundi pada Isnin dan Selasa lalu dan ia mengesahkan ramalan awal bahawa parti berhaluan Islam akan memenangi sekurang-kurangnya dua pertiga undi.

Satu-satunya parti sekular yang mencatatkan kemenangan besar ialah Blok Rakyat Mesir yang memperoleh 13.35 peratus undi.

Jurucakap Ikhwan seperti yang dilaporkan oleh Agensi berkata, “Rakyat memilih calon yang mewakili identiti Islam dan dipercayai pengundi."

Beliau menegaskan, FJP jauh berbeza dengan kumpulan Salafi yang menurutnya mencapai kemenangan memeranjatkan dalam pilihan raya itu.

“Kami berharap orang ramai akan dapat membezakan antara pergerakan yang berbeza dan tidak menganggap semua aktivis Islam berada dalam satu ‘kapal’,” katanya.

Selasa, 3 Januari 2012

Ikhwanul Muslimin Tak Iktiraf Israel.

DUA wanita berjalan berhampiran tulisan slogan pilihan raya bagi Parti Kebebasan dan Keadilan Ikhwanul Muslimin di timur laut Kaherah, semalam.
DUA wanita berjalan berhampiran tulisan slogan pilihan raya bagi Parti Kebebasan dan Keadilan Ikhwanul Muslimin di timur laut Kaherah, semalam.
Cadang bawa perjanjian damai Israel, Mesir kepada satu pungutan suara



KAHERAH: Ikhwanul Muslimin mengesahkan pihaknya tidak akan mengiktiraf Israel di bawah sebarang keadaan, tindakan untuk membatalkan perjanjian damai yang boleh mewakili peluang strategik bagi MB ketika mereka cuba mendapatkan pengiktirafan antarabangsa. Ikhwanul Muslimin yang menang besar dalam pilihan raya pertama bagi Parlimen Mesir, mengumumkan bahawa ia tidak akan mengiktiraf Israel dan bercadang untuk membawa perjanjian damai Israel, Mesir kepada satu pungutan suara.
“Kami tidak akan mengiktiraf Israel dalam apa juga keadaan, kami bercakap mengenai perjanjian penjajahan dan musuh jenayah,” kata Timbalan Ketua Ikhwanul Muslimin Dr Rashad Bayoumi.
Penyokong Parti Keadilan dan Kebebasan Ikhwanul Muslimin Mesir menyertai satu perarakan dalam menyokong lawatan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, ke Kaherah pada 26 Disember lalu. 


“Tiada syarat terhadap pengiktirafan Israel. Ini bukan satu pilihan, tetapi apa juga keadaannya kami tidak akan mengiktiraf Israel langsung, Israel adalah musuh, penjajah dan satu entiti jenayah,” kata Bayoumi dilaporkan memberitahu akhbar Al-Hayat yang berpejabat di London. 


Kenyataan ini adalah bertentangan dengan laporan sebelumnya oleh diplomat Barat, yang menyatakan bahawa pemimpin pergerakan itu memberitahu mereka bahawa Ikhwan Muslimin tidak akan membahayakan hubungan Mesir dengan Israel. 


Namun, Bayoumi menolak sebarang kemungkinan bahawa beliau dan mana-mana ahli pergerakannya akan bersetuju untuk bertemu dengan Israel. Beliau berkata bahawa Ikhwanul Muslimin akan menangguhkan sebarang perjanjian antarabangsa yang ditandatangani oleh Mesir ketika tempoh ‘sementara’ itu, tetapi menambah bahawa sebaik saja kerajaan baru dilantik, perjanjian damai dengan Israel tidak akan diteruskan semula dan penduduk diminta memutuskannya. 


“Ikhwanul Muslimin dipanggil untuk menghormati perjanjian antarabangsa tetapi kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap perjanjian damai dengan entiti Zionis. Ia adalah hak bagi mana-mana parti untuk mempertimbangkan semula perjanjian itu dan penduduk Mesir tidak akan meluahkan pandangan mereka mengenainya. Kami tidak pernah meluluskan keamanan dan kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap perkara ini,” katanya. – Agensi 

Isnin, 5 Disember 2011

Ikhwanul Muslimun Pertahan Artikel 2 Perlembagaan Mesir.












Perkembangan politik dan sosial yang berlaku di bumi Mesir sangat mengujakan. Setelah sekian lama Ikhwan diharamkan dan Regim Hosni Mubarak tidak meluluskan permohonan Ikhwanul Muslimun (IM) untuk menubuhkan sebuah parti politik telah berubah pasca revolusi. Kebebasan IM untuk bergerak dan kelulusan Parti Kebebasan dan Keadilan yang ditubuhkan Ikhwan kini membantu mencorakkan suasana baru bagi umat Islam di Mesir. Bahkan kumpulan Salafi yang dulunya tidak mahu melibatkan diri dalam politik pun turut terlibat dalam unjuk rasa dan penglibatan politik demokrasi.
Ikhwan mewajibkan seluruh anggotanya menjadi ahli kepada parti baru mereka namun parti Kebebasan dan Keadilan adalah parti terbuka untuk semua rakyat Mesir walaupun beragama bukan Islam. Parti baru ini tidak dikawal melalui arahan IM Mesir secara terus namun semua pimpinan parti ini adalah daripada pimpinan utama Ikhwan dan menjayakan agenda Ikhwan dengan kuasa pentadbiran yang independan. Parti ini terus menjaga dan memelihara dasar-dasar Islam dan menyokong dasar Islam dalam perlembagaan Mesir  seperti dalam article 2 ( Constitutional Declaration 2011) "Islam is the religion of the state, and the Arabic language is its official language. The principles of Islamic law are the chief source of legislation. "
Keperihatinan Ikhwan menyokong dan mempertahankan dasar Islam di dalam perlembagaan yang diproklamasikan oleh Majlis Tentera adalah bertepatan dengan dasar-dasar Islam yang diperjuangkan Ikhwan. Meskipun parti mereka Hizbu Hurriyah wal Adalah adalah parti yang diasaskan mengikut kehendak perlembagaan yang melarang wujud parti basis agama dan bangsa, mereka tetap menjaga dan memelihara dasar dan perjuangan Ikhwan. Sudah tentu ini menggambarkan kebijaksanaan dan pemeliharaan prinsip teras yang wajar sentiasa dipelihara.
Setiausaha Agungnya Dr. Mohamed Saad Katatni, (Secretary-General of the Freedom and Justice Party (FJP) menjelaskannya kepada wartawan Al-Jazeera malam tadi.
Pendirian bijak Ikhwan ini hendaklah menjadi input dan pengajaran kepada parti-parti baru yang ingin menubuhkan usaha politik di negeri masing-masing. Meskipun adanya anggota pengasasnya terdiri dari Coptic Kristian dan Wanita namun semua mereka telah menerima dasar-dasar Islam di dalam parti dan juga menjunjung Artikel 2 yang menjadikan Islam sebagai agama bagi negara dan bahasa arab sebagai bahasa resmi. Prinsip undang-undang Syariah adalah sumber utama Legislasi.

Gerakan Islam yang ingin mengambil kesempatan ruang politik janganlah sesekali menjual prinsip perjuangan mereka demi mendapatkan restu dan kuasa yang singkat. Rakyat bukanlah penentu kebenaran, namun Islam lah asas dan dasar yang harus dipertahankan sesuai dengan perjuangan Nabi-nabi dan rasul yang seringkali mendapat bantahan kaum mereka. Sikap mencairkan prinsip atas nama demokrasi dan kebebasan bukan hanya bertentang dengan prinsip akidah namun akan mengheret gerakan Islam ke kancah perpecahan ummah.
Ketika ditanya oleh wartawan Jazeera apa bezanya Parti Hurriyah wal Adalah @ FJP berbanding dengan Parti AKP di Turki, SU Agung Parti menjelaskan bahawa keadaan politik yang berperlembagaan sekular di Turki sejak dulu lagi adalah berbeza dengan Mesir yang menjadikan Islam sebagai agama negara. Sesungguhnya ini adalah jawapan yang sangat tepat. Waqik atau realiti Turky bukan menjadi asas pendekatan yang sama. Parti AKP yang cenderung kepada Islam bertindak dalam kerangka perlembagaan Turki yang sekular manakala Parti FJP (Parti IM) bergerak dalam kerangka perlembagaan Mesir yang menjadikan Islam agama negara sudah tentu punya ruang yang lebih luas dan Islamik.
Di Libya, Majlis Peralihan (NTC) juga mengambil pendekatan ini. Morocco yang baru menerima kemenangan Parti Keadilan dan Pembangunan mungkin akan mengambil pendekatan yang sama. Mereka yang menggunakan sistem propotional representation perlu bekerjasama dengan parti-parti lain yang memenangi pilihanraya baru-baru ini.
Ada maklumat mengatakan mereka akan bekerjasama dengan parti politik yang cenderung menyokong Raja Morocco yang telahpun mengurangkan sedikit kuasa mutlaknya kepada kuasa rakyat bagi mengelakkan kemarahan rakyat terhadap kezaliman raja-raja yang memerintah sebelum ini.
Perubahan lanskap politik Mesir telah membuka peluang kepada kumpulan Islam. Namun dalam masa yang sama juga membuka peluang kepada golongan liberal dan sosialis. Ianya juga membuka ruang kepada gerakan hak asasi manusia melalui pemuda-pemuda Mesir yang condong kepada Barat. Jesteru apapun yang telah berlaku memberi ruang yang luas kepada demokrasi yakni kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
Peristiwa seorang gadis muda Mesir yang mendedahkan seluruh tubuhnya di dalam Face Book mendapat kecaman hebat dari seluruh rakyat Mesir yang masih mempertahankan jati diri masyarakat Timur. Walaupun begitu wanita-wanita Israel dengan bangganya menubuhkan fan group dan menyokong gadis Alia El-Mahdy ini sebagai tanda sokongan kepada sekularisasi dan liberalnya atas nama kebebasan mutlak individu.
Sejak kebangkitan rakyat yang disokong oleh Majlis tentera keadaan politik masih belum stabil. Setelah 10 bulan selepas tamatnya Regim Hosni Mubarak, seramai 50 juta pengundi akan memilih wakil mereka di parlimen. Dimaklumkan 50 buah parti terlibat dalam Pilihanraya  pertama kali ini. Meskipun demikian Pilihanraya  di Mesir semalam telah mendapat sokongan luar biasa rakyat. Peratus keluar mengundi meningkat walaupun ada sesetengah tempat mengundi menghadapi krisis pengurusan pilihanraya. Namun golongan wanita antara yang awal keluar mengundi.
Proses peralihan dari kerajaan tentera yang sifatnya sementara kepada kerajaan awam adalah hasrat rakyat yang telah melakukan revolusi tempohari. Namun adanya usaha melewat-lewatkan proses ini serta wujudnya anasir luar dan asing yang mahu menghuru harakan keadaan, melakukan demonstrasi tidak terkawal, membakar bangunan kerajaan, serta mewujudkan rasa tidak tenteram hubungan antara Islam dan Kristian dicetuskan oleh golongan yang mahukan kerajaan Tentera terus berkuasa atau mahukan kerajaan yang wujud selepas ini semaklin liberal dan condong kepada Barat.
Sekarang terpulanglah kepada rakyat Mesir untuk menentukan destini mereka. Semoga Islam yang sudah sekian lama mendarah daging dalam jantung umat dan pendekatan bijak Ikhwan sejak sekian lama serta perpaduan umat Islam di Mesir memungkinkan rakyat memilih kepimpinan dari kalangan mereka yang memperjuangkan Islam dan memungkinkan kemenangan besar parti-parti yang cenderung kepada Islam. Dari kajian yang dibuat 40% rakyat akan memilih Parti politik dari IM.
Akhirnya dakwah dan kebebasan untuk menyebarkan fikrah Islam itulah pra syarat kepada kemenangan Islam. Kuasa semata-mata tanpa ada dokongan masyarakat dan ummah tidak akan membawa kuasa itu kemana-mana. Serangan pemikiran dan perubahan yang di dokong kepentingan Barat akan terus berusaha melebarkan pengaruh mereka di kalangan generasi muda. Tanpa adanya ketahanan dan keteguhan iman generasi muda akan hanyut diganyang idea-idea Barat dan faham liberalisme serta libertarianisme yang menjadikan hak individu sebagai satu yang sacred dan suci tanpa adanya pengaruh agama di dalam masyarakat.
Semoga Allah SWT memberi taufik dan inayah serta kejayaan bagi umat Islam di Mesir mengharung hari-hari penentu yang akan menyerlahkan keamanan, kebebasan yang didasari agama Islam serta kebaikan ekonomi dan pendidikan bagi Rakyat Mesir. HarakahDaily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular