Translate

Memaparkan catatan dengan label Turun. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Turun. Papar semua catatan

Ahad, 29 Disember 2013

Sudah Tiba Masanya Penganjur Pula Membuat Laporan Polis.


TURUN, TURUN dan TURUN adalah tajuk perhimpunan yang akan diadakan pada 31 Disember ini. Selepas beratus-ratus laporan polis telah dibuat terhadap Perhimpunan Turun, maka sudah tiba masanya pihak penganjur pula membuat laporan polis terhadap fitnah-fitnah yang dilontarkan oleh puak-puak yang kurang berakal ini.

Fitnah terhadap penganjur Perhimpunan Turun adalah amat berat kerana mereka difitnah cuba menganjurkan rampasan kuasa terhadap kerajaan yang mendapat 47 peratus undi pada pilihan raya umum 13 yang lalu. Adakah pihak polis akan memandang dengan sebelah mata sahaja dengan laporan ini. Atau pihak polis terlalu bodoh untuk memikirkan yang rakyat akan mengulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi walau pun mereka cukup arif akan penipuan yang dilakukan oleh Umno/BN. 

Pihak polis sememangnya tahu akan perkara ini kerana mereka telah lama mengerakkan SB-SB mereka untuk mengintip pergerakan para pemimpin Pakatan Rakyat. Kita tidak nafikan ada sesetengah pegawai polis tahu akan perkara ini tetapi oleh kerana tangan mereka diikat maka tiada apa-apa tindakan boleh mereka lakukan. Bagi yang berpangkat lebih kanan, mereka sanggup menjadi boneka kerajaan yang dikuasai BN semata-mata mengejar pangkat dan kemewahan.

Oleh itu disarankan agar pihak Pakatan Rakyat membuat laporan polis bagi setiap daerah bagi memastikan rakyat tidak terpengaruh dengan tuduhan yang tidak berasas ini. Jika benar PAS/PKR/DAP ingin mengulingkan kerajaan, kenapa perlu bagi parti-parti politik ini menyertai setiap kali ada pilihan raya umum atau pun pilihan raya kecil. Walau pun mereka tahu akan tipu helah dan penyalahan gunaan kuasa sentiasa dilakukan oleh pihak kerajaan yang didomino oleh Umno.

Apa senjata penyokong perhimpunan ini akan gunakan

Daripada dahulu sehingga sekarang, pihak polis tidak pernah dapat menemui senjata dalam setiap perhimpunan yang dianjurkan oleh PAS/PKR/DAP. Tidak pernah berlaku perhimpunan yang dianjurkan itu membuatkan negara menjadi huru hara melainkan ia adalah provokasi yang dilakukan oleh pihak berkuasa sendiri dengan arahan dari pimpinan tertinggi Umno.

Jika anda mengikut perkembangan ini anda akan disajikan dengan latihan olok-olok oleh pihak berkuasa yang kononnya dengan memberi alasan latihan itu hanyalah persediaan semata-mata sedangkan rakyat bukannya bodoh macam pencacai Umno mahu pun Perkasa.

Setiap kali pihak Pakatan ingin menganjurkan perhimpunan aman, pasti mereka pun sama sibuk dengan mengatakan mereka pun berhak dan akan bersama-sama untuk menunjukkan bahawa mereka memiliki penyokong ratusan ribu dan pasti akan turut sama sertai demi mempertahankan negara. tetapi apa yang berlaku ialah mereka akan menyembunyikan diri dan dengan pantas menukar pakaian kemegahan mereka apabila melihat kehadiran rakyat yang menentang kerajaan sejauh mata memandang. 

Jika mereka berani pun disebabkan mereka beramai-ramai berdiri di belakang pihak polis. Inilah sikap-sikap dayus NGO-NGO pembela ketuanan Melayu yang kononnya sanggup berjuang sehingga ketitisan darah terakhir sambil menghunuskan keris telanjang mereka. Saya pernah melihat bagaimana penyokong ketuanan Melayu turut bersama-sama dengan penyokong Pakatan untuk menutup identiti mereka kerana kedatangan mereka yang kononnya melebihi penyokong pihak Pakatan dan pemimpin-pemimpin besar/pendek melarikan diri daripada di malukan demi menjaga air muka mereka..

Tuduhan mereka yang perhimpunan Turun adalah untuk mengulingkan kerajaan dengan menggunakan apa. Adakah setiap mereka dibekal pistol atau AK 47 atau pelancar roket atau pun kereta-kereta kebal?. Jika inilah yang dibawa oleh para penyokong perhimpunan Turun, pasti polis akan kecut teloq dan mereka tidak akan berani keluar daripada balai. Mereka menangkap rakyat yang memakai pakaian berwarna kuning atau hitam dan kenapa mereka begitu takut dengan warna-warna itu sehinggakan ia menjadi satu fobia bagi yang menyokong penguasa yang zalim.

Apakan daya, rakyat marhaen masih lagi mempunyai akal yang waras yang mana ia tidak dimiliki oleh para pencacai Umno/BN/Perkasa.Pekida yang sentiasa diperbodoh-bodohkan oleh para pemimpin mereka yang hidup senang lenang dengan harta yang mencurah-curah hasil rompakan terhadap rakyat. Para penyokong perhimpunan Turun ini hanya berbekalkan sebotol air mineral, sehelai tuala, sehelai kain pelekat yang mana ianya tidak cukup untuk mengulingkan kerajaan yang memiliki persenjataan yang lengkap. 

Para SB-SB pula sanggup memukul rakyat yang tidak melawan tanpa belas kasihan dan tanpa mengira kecil-besar, tua-muda, lelaki-wanita demi menunjukkan kepada pemimpin zalim mereka bagaimana perhimpunan ini diuruskan. Semoga Allah S.W.T melaknati tangan-tangan mereka yang memukul tanpa belas kasihan dan ingatlah wahai kaum yang zalim akan doa-doa orang-orang yang kamu aniaya itu diterima terus. Kamu boleh bermegah di hadapan penguasa kamu dengan sedikit imbuhan dunia tetapi ingatlah wahai penzalim, setiap pukulan yang kamu lakukan itu akan tetap dibalas dengan balasan yang kamu sendiri tidak boleh bayangkan.


Jumaat, 27 Disember 2013

KDN, Azan Dan Turun.


(Gambar) Azan (dua dari kiri) berunding dengan seorang anggota polis semasa mengadakan flash mob Turun di Mid Valley, 23 Disember lalu.


Penggantungan permit penerbitan mingguan berita The Heat mungkin akan ditarik balik dalam waktu terdekat. Semakin lama dibiarkan isu ini berlanjutan, ia boleh menambahkan lagi senarai panjang beban yang ditanggung kerajaan minoriti Umno-BN.

Yang penting, bagi Kementerian Dalam Negeri dan menterinya Zahid Hamidi, mesej sudah disampaikan secara jelas kepada The Heat: Jangan usik isu-isu sensitif yang boleh menimbulkan amarah dan kebencian rakyat kepada elit penguasa, apatah lagi membabitkan isteri tersayang Perdana Menteri!

Cuma, saya amat harapkan agar kempen membebaskan media, yang digerakkan beberapa teman melalui GERAMM misalnya, perlu diteruskan dengan momentum baru. Kongkongan, pembulian dan penindasan ini wajar ditamatkan meskipun isu The Heat bakal berakhir.

Sepanjang 15 kali penerbitannya, saya kira mingguan berkenaan telah berusaha mencapai satu kedudukan yang agak istimewa dalam dunia kewartawanan di negara ini. Pastinya bukan hanya saya seorang yang ternanti-nanti bagaimana bentuk laporan dan analisis The Heat selepas ia dibebaskan daripada penggantungan itu nanti.

Apakah ia bakal mengulangi nasib akhbar Watan dan The Star sendiri, selepas penggantungan permit dalam Operasi Lalang, Oktober 1998, ditarik balik? Terdapat syarat-syarat atau persefahaman tidak bertulis yang (terpaksa) dipersetujui sebelum keizinan terbit dikembalikan.

Penerbit The Heat berkata KDN memberi jaminan akan berlaku adil dalam mempertimbangkan rayuan penggantungan permit penerbitan akhbar tersebut. Satu kenyataan pengurusan The Heat, 23 Disember lalu menyebut, jaminan itu dibuat selepas pertemuan di antara pengarang akhbar itu dan pegawai-pegawai kementerian.

"Pihak pengarang bertemu dengan pegawai-pegawai KDN sekali lagi hari ini dan kami memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kementerian untuk menyelesaikan perkara ini. Pihak kementerian memberikan jaminan yang mereka akan mempertimbangkan rayuan untuk menarik balik penggantungan ini secara adil dan segera," kenyataan itu dipetik.

Tertanya-tanya juga, adil yang bagaimana, ya?

Suka saya mengulangi dan menekankan pengalaman berdepan pegawai KDN, termasuk bekas menterinya, Abdullah Ahmad Badawi (merangkap Timbalan Perdana Menteri waktu itu), membincangkan (sebahagiannya mendengar leteran) isu-isu berkaitan kandungan penerbitan yang dianggap bercanggah dengan mock-up asal dan menyentuh "persoalan sensitif".

Misalnya, pada hujung 1997, semasa menjadi Pengarang majalah Tamadun, saya, wartawan Suria Janib dan pemilik permit, Muttaqin Amaludin dipanggil menghadap pegawai kanan di Bahagian C, Unit Kawalan Penerbitan KDN di  Tingkat 11, Bangunan Arab Malaysia Bank, Jalan Lumut, Kuala Lumpur.

Pegawai berkenaan merujuk beberapa artikel Tamadun, antaranya wawancara dengan Ustaz Ismail Kamus, yang bertajuk "Anwar Ibrahim Silap? Antara Pendekatan Dakwah dan Menyatakan Hukum". Kandungan interbiu itu disifatkan boleh mewujudkan suasana tidak tenteram dalam negara.

Malah, wawancara eksklusif saya dengan bekas Timbalan Presiden Semangat 46, Dr Rais Yatim, yang diberi tajuk "Rombak Sistem Kuasa" turut ditegur. Rupanya KDN lebih sensitif apabila saya memilih tajuk kecil di muka depan Tamadun, "Tumbangkan Kerajaan atau Tukar Sistem".

Tidak cukup dengan itu, wawancara kami bersama Mufti Perak, "Kontroversi KRU - P Ramlee: Kabinet Hina Majlis Fatwa" juga dijadikan kes oleh pegawai KDN berkenaan.

Kesimpulannya, saya  dan rakan-rakan "dibuli" semahunya dalam pertemuan tersebut. Bukankah KDN berkuasa mutlak, boleh "menghidup dan mematikan"?

KDN akan cuba mengelak sedaya mungkin daripada mengemukakan surat tunjuk sebab yang boleh dikaitkan dengan isu-isu kontroversial. Penerbitan yang dilihat ghairah menimbulkan keburukan elit pemerintah atau mendedahkan salahlaku pemimpin BN yang korup akan digertak melalui kaedah lebih halus. Pengalaman saya mengendalikan tabloid Cabaran boleh dirujuk.

Namun begitu, kes pengharaman Detik lebih tragis. Majalah dua kali sebulan itu, yang pernah dicetak hampir 150,000 naskhah ketika kemuncak era reformasi, tidak diperbaharui permit hanya kerana tiga kesalahan yang lebih berbentuk teknikal.

Sebenarnya pembaharuan permit Detik sudah dikeluarkan pada 9 Disember 1999 bagi tempoh setahun (1 Disember 1999 sehingga 30 November 2000). Lazimnya, pihak Menteri Dalam Negeri menyerahkan tugas mengendalikan urusan permit majalah kepada pegawai kanannya. Menteri lebih berminat dengan permit akhbar.

Bagaimanapun, teguran yang timbul dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, sejurus selepas Pilihan Raya Umum 1999, dikatakan menjadi punca permit Detik itu segera ditarik balik. Dalam PRU10 itu, banyak kerusi Umno di kawasan majoriti pengundi Melayu jatuh kepada PAS (Barisan Alternatif).

Melalui surat KDN 1505(8757)(26) bertarikh 24 Disember 1999, dibutirkan tiga kesalahan Detik, yang membawa kepada pengharamannya:

1. Tidak mencetak alamat penerbit di majalah Detik.

2. Meletakkan permit penerbitan yang diberikan kepada Irrecon Corporation Sdn Bhd di bawah kawalan Penerbitan Pemuda.

3. Melantik Ketua Pengarang, Ahmad Lutfi Othman, tanpa memaklumkannya kepada KDN

Dalam surat kepada pegawai KDN, Tengku Mahmood Tengku Ismail, pada 28 Disember 1999, saya memohon maaf atas kesalahan pertama dan kedua, tetapi menafikan kesalahan kedua.
Malangnya, Detik tetap diharamkan. Di bawah saya, ia hanya sempat bernafas setahun sahaja. "Adiknya", Wasilah, majalah remaja, juga dipancung tanpa kasihan pada tahun yang sama.

Sengaja saya timbulkan semula sejarah silam itu untuk membuktikan bahawa alasan-alasan KDN, seperti juga dalam kes The Heat, sengaja diada-adakan.

The Heat menerima dua surat tunjuk sebab KDN bertarikh 27 November dan 2 Disember 2013, atas kesalahan teknikal tidak mendapat kelulusan menukar kategori penerbitan "ekonomi/sosial" kepada "isu semasa", sedangkan sebenarnya perubahan itu telahpun diizinkan lebih awal lagi, iaitu pada 18 September 2013.

Justeru, dalih apa lagi yang mahu dikemukakan KDN untuk mengongkong dan memperbudakkan warga media negara ini?

II.

Keresahan rakyat menjelang tahun baru tidak dapat dibendung lagi. Rata-rata, di mana-mana, bukan hanya di kota besar, malah di desa dan di pinggir bandar, hampir semua berbicara dan mengeluh tentang bebanan tinggi kenaikan sara hidup.

Ia bukan hanya menghimpit golongan miskin dan kelas bawahan, tetapi juga menekan perit kelas menengah rendah di bandar-bandar, yang mungkin tergolong sebagai pembayar cukai tetapi tidak layak menerima BR1M dan bantuan lainnya.

Kedaifan middle class, yang tertumpu misalnya sekitar Kuala Lumpur dan  Johor Bahru ini mungkin seperti dilupakan. Imbuhan bulanan isi rumah sekitar RM5,000 di kota raya tidak dapat melepaskan diri daripada perangkap kemiskinan bandar.

Kadar elektrik, barangan dapur, bahan bakar, tol, tambang bas (khususnya bas sekolah), LRT, komuter dan teksi, sewa rumah, cukai pintu, juga harga makanan (siap dimasak dan mentah) sehinggalah yuran Astro, semuanya meningkat. Ungkapan "tiada yang turun melainkan hujan", tidak menjadi jenaka lagi.

Justeru, saya cukup tertarik dan terpikat sekali dengan langkah sekumpulan anak muda, diterajui Presiden Gamis, Azan Safar, yang menubuhkan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun).

Memang tepat pada masanya dan langkah praktikal itu melambangkan komitmen tinggi golongan aktivis pelajar untuk turun mendekati degup jantung rakyat yang berdetup kencang sekarang.

Turun akan mengadakan perhimpunan membantah kenaikan kos sara hidup ketika sambutan ambang tahun baru 2014, khabarnya di Dataran Merdeka. NGO lain yang terbabit adalah Solidariti Anak Muda Malaysia dan Solidariti Mahasiswa Malaysia.

Menurut laporan media pertengahan Disember lalu, Azan menegaskan, himpunan itu "sebagai suatu kuasa pendesak agar kerajaan dengar amaran rakyat dan fikir tentang kos sara hidup rakyat yang makin meningkat dan struktur semula kebajikan rakyat.”

Tiba-tiba dalam masa sama, media khususnya Utusan Malaysia dan TV3, mempromosikan secara luar biasa (tentunya dengan motif jahat) satu lagi gerakan, iaitu Himpunan Guling Kerajaan, dijadualkan pada tarikh dan tempat yang sama dengan Himpunan Turun.

Taktik lapuk ini tidak sukar untuk dikesan, bagi bertujuan memberikan gambaran jelik dan hodoh kepada usaha murni anak-anak muda Turun.

Strategi sama pernah digunakan media berkenaan menjelang Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka, 12 Januari 2013, yang digelar Himpunan Shamsidar; satu propaganda terkutuk dan memalukan, sama sekali di luar batas etika dan adab.

Di tengah ibu kota, HKR berjalan secara aman dan lancar sekali. Tanpa gangguan polis dan FRU, langsung tidak timbul sebarang kekecohan. Dan cerita Himpunan Shamsidar itu lenyap begitu sahaja.

Turun sebenarnya digeruni pemerintah kerana ia erat berpadu bersama nurani rakyat yang resah-gelisah. Tidak hairanlah apabila himpunan itu dimomokkan sebegitu rupa, bagi menjauhkan rakyat dengan Turun, walhal yang berlaku adalah di sebaliknya.

Flash mob Turun di sebuah pusat membeli-belah, Mid Valley, Kuala Lumpur, 22 Disember lalu, makin menakutkan penguasa rakus. Sejumlah anggota polis mengejar dan merampas bahan-bahan yang digunakan dalam flash mob berkenaan, dan Azan serta rakan-rakannya turut dihalau keluar dari premis terbabit.

"Polis mengejar kami di sekitar pusat membeli-belah untuk memaksa kami keluar. Namun, Kami kembali di luar pusat membeli belah. Bagaimanapun, objektif flash mob telah kami capai," kata Azan. Mereka meneruskan demonstrasi di tepi jalan sekitar kawasan luar Mid Valley.

Sebelumnya, pada 20 Disember, Azan turut berucap dalam program "Faham GST, Lawan GST", di Kelab Sulaiman, Kampung Baru. Pidatonya itu kemudiannya dikatakan berbaur hasutan, menggugat keharmonian, sekali gus menggugar sistem demokrasi berparlimen.

Begitulah selalunya. Pihak polis sering mencetuskan tindakan provokasi, yang sebenarnya memberi impak negatif kepada pemerintah.

Jam 11 malam, 23 Disember, ketika Azan dan rakan-rakan sedang makan di Kedai Makan Kak Som, di Kampung Baru, sepasukan tujuh anggota polis menyerbu dan menahannya. Lebih pelik tangkapan itu dibuat di bawah Siasatan Khas D9, yang dikatakan siasatan ke atas jenayah berat seperti penggunaan senjata api.

"Hakikatnya, saya menyeru masyarakat turun dan menyatakan sokongan mereka supaya kerajaan tidak mengambil ringan dan memandang enteng masalah bebanan kos sara hidup rakyat menjelang 2014. Di manakah salahnya?" tegas Azan selepas dibebaskan di IPD Dang Wang, jam 7 malam, 24 Disember.

"Selain itu, saya disyaki terlibat dalam cubaan untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi menjelang 2014. Andaian serkap jarang dan tuduhan yang tidak berasas ini telah menampakkan ketempangan pihak berkuasa dalam proses pembuktian," ujar anak muda bersemangat waja itu.

Isu kenaikan kos sara hidup ini turut disentuh dengan baik oleh kolumnis Utusan, Salleh Buang, bekas profesor undang-undang, halaman 10, terbitan 24 Disember, bertajuk "Antara kesulitan rakyat dan minda menteri".

"... secara amnya kenaikan gaji rakyat kita (yang bekerja dengan majikan) adalah pada tahap 2.5% setahun sahaja, manakala kenaikan harga barang keperluan adalah lebih tiga kali ganda, iaitu 8.5% setahun," tulisan Salleh dipetik. Banyak lagi hujah dan contoh menarik dikemukakannya. HD
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular