Translate

Senarai Blog Saya

Khamis, 4 Mac 2010

Satu Tindakan Yang Mengerunkan Bagi Yang Mengaku Islam.


Semalam saya menghubungi Ust. Ahmad Awang beberapa minit setelah saya mendapat makluman MP Bagan Serai, Mohsin keluar PKR dan masuk bebas. Bermula dari situ kami berbalas talifon sehingga yang terakhir sebelum Maghrib dan Ustaz mengatakan dia akan menghubungi wartawan malaysiakini yang sering dia hubungi bernama Jimadie untuk memberikan kenyaraan rasminya. Berikut ini adalah petikan kenyataan beliau yang telah diterbitkan oleh malaysiakini hari ini.

Ahli parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri diberi tempoh tujuh hari untuk mengosongkan kerusinya ataupun menghadapi tindakan dikenakan solat hajat supaya dihukum oleh Allah.

Ahli Majlis Syura Ulama PAS Ahmad Awang (kiri) berkata pihaknya akan menganjurkan solat hajat selama tujuh hari tujuh malam supaya Mohsin diberikan hukuman setimpal kerana mengkhianati perjuangan.

“Kita beri tempoh tujuh hari supaya beliau letak jawatan. Jika tidak kita akan anjurkan solat hajat tujuh hari tujuh malam supaya Allah menghukumnya kerana khianat pada perjuangan.

“Bentuk hukuman tersebut, biarlah Allah sahaja yang menentukannya,” kata Ahmad yang juga pesuruhjaya PAS negeri Perak pada pilihan raya umum sebelum ini.

Bekas naib presiden PAS itu mengulas tindakan Mohsin yang keluar PKR dan menjadi wakil bebas dengan alasan tidak bersetuju dengan pendirian PKR berhubung isu kalimah Allah.

Pada sidang media bagi mengumumkan perkara itu semalam, Mohsin (kanan) dilaporkan berkata, beliau telah membangkitkan perkara itu melalui saluran dalaman tetapi mendakwa ia tidak dihiraukan.

Ketika menghubungi Malaysiakini semalam, Ahmad berkata, tempoh tujuh hari yang diberikan kepada Mohsin untuk meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat bermula semalam apabila pengumuman itu dibuat.

Ditanya sama ada program berkenaan akan dianjurkan oleh PAS negeri, Ahmad berkata ia anjurannya sendiri yang bertanggungjawab menerima Mohsin sebagai calon kawasan tersebut pada masa itu.

Bagaimanapun, tambah Ahmad, beliau juga mengajak pengundi kawasan itu, penyokong PAS sekitar kawasan parlimen berkenaan dan kira-kira seribu pelajar daripada sebuah pusat pengajian agama yang diasaskannya di Perak bagi menyertai solat tersebut.

Ahmad sebelum itu telah dua kali bertanding pada pilihan raya umum di kawasan parlimen tersebut pada 1999 dan 2004. Bagaimanapun beliau tewas kedua-dua kali di tangan calon BN.

Mengimbau semula detik-detik ketika Mohsin dipilih sebagai calon bagi Pakatan Rakyat, ketika itu Ahmad berkata, bukan sahaja pengundi, tetapi penyokong PAS juga tidak mengenalinya.

“Semua orang tanya siapa beliau,” kata Ahmad yang berkata pihaknya bertungkus lumus berusaha bagi memastikan Mohsin menang.

“Waktu berkempen itu, kita bawa dia, iring ke sana ke mari. Saya (sendiri) cakap pada pengundi-pengundi, kalau tuan-tuan undi Mohsin, samalah macam tuan-tuan undi saya,” katanya.

Ahmad juga dilihat menunjukkan keraguannya terhadap tindakan politik Mohsin tersebut yang menurutnya berlaku secara tiba-tiba.

Katanya, beliau difahamkan, ketika seorang aktivis PAS kawasan tersebut berhubung dengan Mohsin kelmarin, soal peletakan jawatannya tidak timbul langsung.

“Berdasarkan sidang media beliau, daripada cara dia baca kenyataan akhbar, dengan salah sebut beberapa kali, saya rasa itu bukan beliau yang buat,” kata Ahmad. malaysiakini/-

Sementara itu, kira-kira jam 10 pagi tadi , saya bersama dengan sekitar 500 orang berhimpun di depan pejabat Mohsin di Bagan Serai bagi mendesak wakil rakyat itu meletakkan jawatan segera. (CinaIslam)
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular