Di sebalik pelawaan Datuk Seri Najib Razak PAS sertai BN, Pemuda
PAS menuduh Umno terus bersekongkol dengan MCA, yang menurutnya
anti-Islam ekoran desakan agar parti Islam itu menggugurkan dasar
negara Islam jika mahu menyertai perikatan itu.
Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan berkata, kata sindir
dan sinis orang Melayu seperti “kuman di seberang mereka nampak
jelas, namun malang gajah di hadapan langsung mereka tidak
nampak” adalah sangat tepat untuk dikirim secara terhormat kepada
Umno dan seluruh kepimpinannya.
“Ia bertujuan untuk menginsafkan Umno bahawa dulu dan kini,
harap tidak selamanya, mereka bersekongkol dengan MCA sebuah parti
cauvanis yang anti-Islam,” kata beliau dalam satu kenyataan
dikeluarkan.
Ketua Pemuda itu berkata, sebelum ini Presiden MCA Dr Chua Soi Lek
pernah menghina Islam secara terbuka dengan menganggap kononnya
Malaysia sebagai negara Islam tidak progresif, mengamalkan rasuah,
miskin dan mundur.
“Sementara Umno dan pemimpinnya tidak berbuat apa-apa terhadap
kenyataan yang sarat dengan penghinaan terhadap Islam dan
ummatnya,” kata beliau.
Nasrudin seterusnya berkata sewaktu berkempen ketika pilihan raya
kecil kerusi DUN Tenang menghadapi pilihan raya kecilnya awal tahun
ini, Dr Chua sekali lagi menunjuk sikap anti-Islam apabila memperkecil
dan mempersenda langkah calon PAS Normala Sudirman yang tidak bersalam
dengan lelaki ajnabi sebagai kolot dan ketinggalan zaman.
“Umno dan pemimpinnya bukan sahaja tidak memberi gambaran
jelas mengenai Islam kepada MCA tetapi juga tidak pernah mengambil
tindakan tegas untuk membendung perkara seumpama itu berulang,”
kata beliau lagi.
“Terbaru, saat Presiden Umno dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib
menyelar PAS kononnya langkah yang diambil oleh PAS untuk bersama
dengan DAP hanyalah akan merugikan Islam, di samping melemparkan
tuduhan kononnya PAS telah menggadai prinsip perjuangan Islam dan
memujuk supaya PAS menyertai BN, tiba-tiba lantang suara Presiden MCA
memberi amaran kepada PAS agar tidak memperjuangkan Islam dan cita-cita
menegakkan negara Islam jika mahu menyertai Barisan,” katanya
lagi.
Sambil berkata “terkedu dan bungkam sejuta bahasa Datuk Seri
Najib dek penangan Chua Soi Lek”, tegas beliau, amaran ketua MCA
itu tidak dilihat hanya kepada PAS tetapi lebih dekat ia dituju kepada
Najib sendiri agar tidak mendekati PAS.
“Usahlah Umno risaukan PAS bersama Pakatan Rakyat,” katanya beliau.
Sehubungan itu tegas beliau, Umno wajar memberi tumpuan kepada MCA sebagai kompenan BN yang lantang menentang Islam.
“Rawatan segera mesti diberikan oleh Umno kepada MCA yang kini sedang mengalami radang Islamofobia yang serius.
“Usah larikan diri dari realiti lalu melemparkan tuduhan pada
pihak yang lain demi menyembunyikan kelemahan sendiri,” katanya
lagi.
Menurut Nasrudin, bukan sahaja MCA yang sangat anti-Islam, kelihatan
Umno sendiri tidak jelas fahaman dan sikapnya terhadap Islam.
“Lebih kurang 50 tahun Umno bersama MCA, nyata Umno masih gagal untuk memahamkan MCA mengenai Islam.
“Kalaupun mereka tidak menerima Islam, sekurang-kurangnya MCA
tidak berlaku biadab dan kurang ajar terhadap Islam dengan
mempersendakannya di khalayak,” kata Nasrudin lagi.
Ketua Pemuda ini juga meansihatkan para pemimpin Umno agar tidak
lagi menyibukkan diri mereka dengan urusan rumah tangga orang lain dan
tidak pula menyukarkan hidup mereka dengan mengatur rancangan jahat
bagi mencerai beraikan “rumah tangga orang.”
“Ambillah masa yang berkualiti ini untuk memberi ilmu dan
mendidik ahli keluarga (kompenan) sendiri dan apa yang paling penting
ialah masa untuk diri sendiri dekat kepada Islam dan
perjuangannya,” katanya lagi. Insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan