Translate

Khamis, 24 November 2011

Mahfuz: PAS Tetap Kekal ‘Pasukan Pakatan, Tak Akan Sertai Pasukan Umno’

Mahfuz berkata PAS akan terus bersama PR dalam usaha menggantikan pasukan Umno-BN. — Foto fail

PAS menegaskan parti itu akan kekal sebagai “anggota pasukan” Pakatan Rakyat sambil mendakwa Umno sengaja mahu meneruskan gambaran negatif kononnya parti Islam itu sebagai “angkuh dan sombong.”
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, Umno selaku parti teras dalam Barisan Nasional (BN) sedia tahu dan sedar bahawa PAS tidak akan melayan pelawaan seumpama itu lagi, dan dengan itu pihak berkenaan mahu meneruskan retorik lama, yang dimulakan pada 2008, mempelawa agar dibentuk kerjasama politik dan kerajaan perpaduan.
“PAS sudah banyak kali menegaskan pendirian kami bahawa kami akan kekal bersama Pakatan Rakyat, pasukan Pakatan Rakyat... bukannya pasukan Umno-PAS.
“Itu sudah jelas. Jadi mengapa nak terus mengajak kami? Jadi ia tidak lain tidak bukan untuk memberi persepsi bahawa PAS ini seolah-olah sombong dan angkuh, tidak mahu menerima pelawaan Umno,” kata Mahfuz ketika dihubungi sambil menegaskan PAS bukannya sombong tetapi tidak mahu menerima kerjasama politik Umno.
“Itu jelas. Kami akan kekal dalam pasukan Pakatan Rakyat untuk menggantikan pasukan Umno-BN,” katanya.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, pihaknya tidak terkejut dengan pelawaan-pelawaan sedemikian khususnya ketika menjelang pilihan raya umum dan lebih-lebih semasa musim perhimpunan agung parti itu.
Umno akan mengadakan perhimpunan agung tahunannya minggu depan. Pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan awal tahun depan.
Idea kerajaan perpaduan dan kerjasama politik PAS-Umno menjadi perhatian sejak selepas perubahan landskap politik negara tiga tahun lalu.
“Saya pun tidak hairan jika mereka jadikan ia sebagai satu isu dalam perhimpunan mereka,” kata beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, antara lain berkata, urusan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan pasti akan menjadi lebih mudah dan “mengindahkan” jika PAS dan Umno boleh menjadi satu pasukan.
Kerajaan negeri dimaksudkan Kelantan yang dipimpin oleh PAS sejak 1990.
Muhyiddin mengadakan lawatan kerja ke negeri itu semalam.
Mengulangi pendirian yang pernah diketengahkan beberapa kali sebelum ini, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, perkara itu akan lebih mudah jika kedua-dua parti dapat bekerjasama tanpa perlu berselisih faham terutama dalam soal pengurusan negeri.
“Ia akan mengindahkan jika kita boleh jadi pasukan bersama,” katanya dalam reaksi kepada soalan Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Limbungan, Zainuddin Awang Ahmad mengenai bayaran royalti minyak kepada Kelantan dalam sesi dialog di  Kota Baru semalam.
Dipetik Bernama Online, Muhyiddin berkata dengan kerjasama sebagai satu pasukan itu, ia akan memudahkan lagi segala urusan pentadbiran dan politik tanpa sebarang masalah.
Bagaimanapun laporan itu tidak menyebut secara langsung mengenai idea kerajaan perpaduan yang pernah dibangkitkan sebelum ini. Insider

1 ulasan:

batu pelangi/BZ berkata...

Tapi kena berhatix dengan bekas calun PKR Padang
Rengas Cikgu ALIAS BIN ZENON.Dia telah menganiaya
pekerjaxnya dalam JERAI SECURITY.Malumat lanjut
menyusul.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular